HURAIAN TEMA

 

1.         Tema Tunas Saintis Tahun 2000 ialah : BUDAYA SAINTIFIK MENJANA GENERASI PINTAR SOLEH. Tema ini dipilih kerana sejajar dengan usaha negara untuk : mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan dan memandang ke depan yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, malah menjadi penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.

 

2.         Tema tersebut juga serasi dan selaras dengan Gerakan Misi 3M Bahagian Pendidikan Menengah untuk : mewujudkan budaya saintifik di kalangan masyarakat pelajar MRSM.

 

3.         Ilmu sains diperolehi dari pemerhatian yang dilakukan secara berterusan ke atas sesuatu fenomena Alam yang berlaku.  Ilmu sains juga mengandungi teori-teori yang dapat menerang dan meramalkan sesuatu kejadian fenomena Alam.  Oleh yang demikian, terdapat interaksi yang saling berkait di antara Alam, Kaedah Saintifik dan Ilmu sains.

 

4.         Dalam Islam, ilmu sains adalah ilmu mencari kebenaran tentang segala aspek Alam, dan akhirnya untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang Yang Maha Besar, yakni Allah S.W.T. Sains sebenarnya harus dilingkungi agama dan bukannya di luar atau melengkapi agama.

 

5.         Di samping mahu melahirkan pelajar yang pintar dan cemerlang dalam akademik, kita juga mahu mereka menjadi pelajar sians yang soleh, seterusnya ahli sains yang memahami agamanya.  Oleh itu, dalam konteks pendidikan sains di MRSM seharusnya pelajar 'menyintai tentang kearifan' (love of wisdom), serta membolehkan mereka memahami tentang makna sains, asal-usul, fungsi dan peranan yang dimainkan olehnya dalam kehidupan manusia.

 

6.         Justeru itu tema kali ini ingin memperlihatkan penyelidikan dan kajian yang dilakukan oleh pelajar serta produk yang dihasilkan memenuhi kehendak agama, bangsa dan negara.  Hasil produk dan rekacipta itu akan menepati hasrat 'mesra alam' dan 'sayang etika dan tatasusila'.